Nota Aug (1) - Ustaz Dr. Firdaus : Optimis ,Cara Perkasakan Al Quran, 3 Musuh Utama Manusia , Sunatullah Dlm menuntut Ilmu
1. Optimis tidak bermakna seseorang itu tidak merasa sakit, tidak merasa penat dan tidak menangis.
2. Orang optimis turut merasakan sakit, penat dan menangis apabila menghadapi ujian yang datang melanda.
3. Namun rasa sakit, penat dan tangisan itu dihapus dengan rasa redha terhadap ketentuan ilahi dan yakin bahawa Dia pasti memberi yang terbaik untuk dirinya atau menggantinya dengan yang lebih baik.
Allah berfirman:
"Allah pasti akan menjadikan selepas kesusahan akan ada kemudahan". Surah al Talaq ayat 7
Wallahu A'lam
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
5 Cara Memperkasakan Hubungan Dengan Al-Quran
====================================
Al-Quran adalah surat cinta Allah kepada umat manusia.
Dalamnya terzahir betapa istimewanya manusia ini di sisiNya.
Dia anugerahkan mereka dengan perkara-perkara yang tidak ada pada makhluknya yang lain.
Namun sayang, ramai di antara manusia yang tidak mengetahui kasih sayang Allah itu dan anugerahNya kepada mereka.
Hubungan mereka dengan Allah jauh dan tawar. Sebab apa? Sebab hubungan mereka dengan Al-Quran juga jauh dan bermasalah.
Di sini kami menyebutkan 5 perkara yang boleh Memperkasakan semula hubungan kita dengan Al-Quran. Selanjutnya ia akan membantu Memperkasakan hubungan kita dengan Allah.
1. Baca Al-Quran setiap hari. Jika tidak, dengar bacaan Al-Quran.
2. Pelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran yang dapat meningkatkan Kefahaman kita terhadapnya.
3. Berusahalah mengamalkan isi kandungan Al-Quran.Mengamalkan isi kandungan Al-Quran akan membawa kepada ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan.
4. Sampaikan apa yang anda pelajari dan kuasai tentang Al-Quran.
5. Berusahalah mengambil peluang menjadi salah seorang Penghafal Al-Quran.
......................................................................................
3 Musuh Utama Manusia
Sering manusia tersalah dalam menentukan musuhnya yang sebenarnya dalam kehidupan ini.
Ada yang menjadikan musuhnya rakan sekerja, atau jiran tetangga, atau orang-orang lain yang tidak satu kepala dengannya.
Hakikatnya semua itu bukan musuhnya yang sebenarnya.
Ada 3 musuh utama manusia. Iaitu:
1. Dunia
Allah telah menjadikan dunia sebagai tempat manusia diuji. Segala yang berkaitan dengan dunia ini adalah ujian bagi manusia.
Allah telah menjadikan dunia ini indah dan menawan. Ini telah menyebabkan ramai manusia tertawan dengannya sehingga lupa matlamat hidupnya yang sebenarnya, iaitu untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifahNya di muka bumi ini.
Allah berfirman :
“Maka janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kehidupan dunia, dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam (menaati) Allah,” (QS. Luqman: 33).
Rasulullah bersabda sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Said Al-Khudri:
“Sesungguhnya DUNIA itu manis dan lezat, dan sesungguhnya Allah menitipkannya kepadamu, kemudian melihat bagaimana kamu menggunakannya.
Maka hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, kerana fitnah pertama yang menimpa bani Israel disebabkan wanita,” (HR Muslim)
2. Syaitan
Dengan tegas, Allah telah menyatakan dalam Al-Quran bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya (patuhi segala hukum-hakam); dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh bagi kamu yang terang nyata."
Allah berfirman lagi dalam surah al-A'raaf ayat 27, yang bermaksud; "Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu-bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka.
Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-Syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."
3. Nafsu
Betapa ramai manusia menjadi celaka oleh kerana godaan hawa nafsunya sendiri yang tidak berhasil dikalahkan.
Seseorang menjadi jatuh celaka dan atau tersesat hidupnya dan bahkan hingga masuk neraka, disebabkan godaan hawa nafsunya sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud :
“Sudahkah engkau (Muhammad) melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?” (QS. Al Furqãn[25]: Ayat 43).
Syaitan suka menjadikan nafsu manusia sebagai alat untuk memperhambakan mereka sehingga ikut telunjuknya.
Hati-hati dengan musuh utama di atas. Jangan terpedaya.
.................................................................................................................
Sunnatullah Dalam Menuntut Ilmu
Selepas mengaji bersama anak-anak tadi, saya membaca kitab tafsir Ar-Razi. Sampai pada surah Taha ayat 114 saya berhenti sejenak untuk mentadabbur dan menghayatinya.
Allah berfirman :
فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۗ وَلَا تَعۡجَلۡ بِٱلۡقُرۡءَانِ مِن قَبۡلِ أَن يُقۡضَىٰٓ إِلَيۡكَ وَحۡيُهُۥۖ وَقُل رَّبِّ زِدۡنِي عِلۡمٗا
Terjemahan:
Maka Mahatinggi Allah, Raja yang sebenar-benarnya. Dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (membaca) Al-Qur'an sebelum selesai diwahyukan kepadamu, dan katakanlah, “Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku. ”
-Surah Ta-Ha, Ayah 114
Ada beberapa point penting boleh diambil untuk penuntut ilmu daripada ayat di atas. Di antaranya:
1. Allah maha tinggi. Tiada ketentuanNya yang sia-sia. Di sebaliknya sentiasa ada hikmah yang hebat. Dia sentiasa benar. Cepat pandai ada hikmahnya. Lambat pandai pun ada hikmahnya.
2. Setiap sesuatu ada tempoh masanya atau "time frame"nya. Kalau tak sampai masanya, maka tidak akan terjadi atau tercapai. Kalau tak sampai masa pengakhirannya, maka ia tidak akan berakhir. Kalau Allah izinkan kita pandai lagi, maknanya masanya belum sampai lagi.
3. Berinteraksi dengan Al-Quran dan ilmunya perlukan masa. Ia tidak boleh terburu-buru. Tunggu dan bersabarlah. Ia memang ambik masa.
4. Ramai orang nak cepat pandai mengaji, menguasai bahasa Arab Al-Quran dan nak cepat hafal al Quran. Bagus dan tak salah untuk berharap dan bercita-cita seperti itu. Tetapi kita kena faham bahawa ia perlukan masa, komitmen dan "follow the system". Maka teruskan belajar dan bersabarlah dalam menghadapi dugaan dan mehnah menuntut ilmu. In shaa Allah berjaya.
5. Selain itu, jangan lupa berdoa. Amalkanlah doa yang diajarkan Allah kepada nabi Muhammad saw di akhir ayat di atas:
رَّبِّ زِدۡنِي عِلۡمٗا
"Ya Allah, tabahkanlah ilmu kepadaku."
Wallahu A'lam
Comments
Post a Comment