JIKA SUDAH TAKDIRMU, IA TIDAK AKAN KEMANA
Mari kita sama-sama tadabbur ayat berikut ini. Iaitu surah (Fāţir):2.
Allah berfirman :
"Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Pelajaran daripada ayat di atas:
+ Yakinlah pada Allah. Segala sesuatu di bawah kuasa dan pengawasanNya. Tiada yang luput daripada pemerhatianNya.
+ Usah takut rezeki kita diambil orang. Jika memang sudah rezeki kita, ia pasti akan sampai pada kita, sama ada cepat atau lambat.
+ Sesuatu yang tidak kita peroleh lagi, bukan bermakna ia bukan rezeki kita. Ia juga rezeki kita. Cuma Allah sedang tahannya daripada kita. Apabila itu berlaku, hisab diri kita. Barangkali ada sesuatu yang kita lakukan, yang menyebabkan rezeki itu terhalang daripada kita.
+ Ingatlah setiap perkara yang ditetapkan Allah kepada kita adalah salah satu bentuk kebijaksanaanNya dan kebesaran diriNya.
Allahuakbar.
.............................................
Sheikh Soleh Ad-Dimasyqi berpesan kepada anaknya:
"Wahai anakku, apabila berlalu siang dan malam, kamu dapati agama, badan, harta dan keluargamu selamat sejahtera, maka banyak-banyaklah bersyukur. Betapa ramai orang di luar sana yang kehilangan agamanya, terlucut kuasanya, terdedah keburukannya dan patah tulang belakangnya hari itu. Sedangkan engkau selamat sejahtera."
...............................................
Didik Dirimu Cinta Al-Quran
Cinta Al-Quran mestilah menjadi salah satu silabus pendidikan seseorang. Ia amat penting untuk panduan hidupnya dan kebahagiaannya.
Sahabat yang mulia, Ali Karamallahu Wajhah pernah berpesan :
"أدبوا أولادكم على ثلاث خصال، حبِّ نبيكم، وحبِّ آل بيته، وتلاوة القرآن"
"Didiklah anak-anak kamu 3 perkara : cinta nabi kamu, cinta Alul Bayt dan cinta membaca Al-Quran." HR. At-Tabrani
Bagaimana melahirkan rasa cinta kepada Al-Quran?
Bak pepatah Melayu, "Tak kenal, maka tak cinta."
Maka kita tidak akan cinta Al-Quran, melainkan dengan mengenalnya dengan lebih dalam.
Kenal Al-Quran secara luaran atau sedikit-sedikit sahaja tidak akan cukup melahirkan cinta kepada Al-Quran.
Semakin dalam kita kenal Al-Quran, maka semakin dalam dan bersemi cinta kita kepadanya.
Sebaliknya, semakin kurang pengetahuan kita tentang Al-Quran semakin lemahlah cinta kita kepadanya.
Comments
Post a Comment