Nota Sept (2) - Ustaz Firdaus - Saya Orang Soleh?, Hujan Tapi Kering, Bermusafir, Anak Burung Gagak & Rezeki.
Adakah Saya Di Antara Orang-Orang Soleh?
Seorang lelaki bertanya kepada seorang ulama : "Adakah saya di antara orang-orang soleh?
Ulama itu menjawab:
"Jika kamu selalu mendoakan ibu bapa kamu, maka kamu di antara mereka (orang-orang soleh). Kerana Rasulullah saw bersabda: "Atau anak soleh yang mendoakannya (ibu bapanya)."
Adapun jika kamu melupakannya, maka kamu bukan dari kalangan mereka (orang-orang soleh) seukuran lupa kamu terhadap mereka."
Maka banyak-banyaklah berdoa dengan doa:
رب اغفر لي ولوالدي
"Ya Tuhanku, ampunkan aku dan kedua ibu bapaku."
Sesungguhnya doa ini menghimpunkan dua ibadah hebat, iaitu berbakti kepada ibu bapa dan istighfar.
..........................................................................
Hujan Tetapi Kekeringan
Hujan membasahi bumi, tetapi manusia kekeringan. Inilah realiti dan ujian zaman sekarang.
Ini seolah-olah rahmat Allah mencurah, tetapi manusia tidak dapat manfaatnya.
Teringat firman Allah swt :
قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِنۡ أَصۡبَحَ مَآؤُكُمۡ غَوۡرٗا فَمَن يَأۡتِيكُم بِمَآءٖ مَّعِينِۭ
Katakanlah (Muhammad), “Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”
-Surah Al-Mulk, Ayah 30
Ya, Allah lah yang akan mengalirkan air semula. Tetapi sekarang air sudah mengalir, tetapi masih kekeringan. Ironis.
Allah yang maha mengatur kehidupan manusia sentiasa bertindak bijaksana. Manusia saja yang selalunya bertindak gopoh dan membuat kerosakan di muka bumi.
Perbuatan manusia menjadi punca ditariknya nikmat. Maka apabila berlaku perkara yang tidak seperti biasanya, manusia perlu muhasabah diri dan memperbaiki diri.
اللهم اغفر لنا ذنوبنا وقنا عذاب النار..
Wallahu A'lam
...........................................................................................
Bermusafir
Hari Jumaat lepas, sebelum mengajar tadabbur surah Al-Ankabut, sempat membuka beberapa kitab tafsir. Antaranya kitab tafsir Ibn Kathir, kitab tafsir bil ma'thur yang tersohor.
Apabila membacanya, terjumpa petikan beberapa riwayat daripada Rasulullah saw yang menggalakkan umatnya untuk bermusafir.
Antara riwayat itu menjelaskan keutamaan bermusafir. Seperti riwayat berikut:
سافروا تصحوا وترزقوا
"Bermusafirlah, nescaya kamu sihat dan diberi rezeki."
Riwayat lain yang lebih kurang maknanya,
سافروا تصحوا وتغنموا
"Bermusafirlah, nescaya kamu sihat dan memperoleh ghanimah."
Riwayat lain,
سافروا تربحوا وصوموا تصحوا
"Bermusafirlah, nescaya kamu beruntung dan berpuasalah, nescaya kamu sihat."
Habis baca ini, terfikir dah lama tak musafir. Biasanya setiap tahun ada 2 atau 3 kali bermusafir ke luar negara. Dah merebak wabak covid ini, kami dah tak boleh bermusafir dah.
Nampaknya kena musafir lagi, walaupun hanya dalam negeri. Kembara Rohani Domestik, kata Hjh Bashah. Jom, siapa nak ikut?
.......................................................
Anak Burung Gagak dan Rezeki
Imam Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya Tafsir Al-Quran Al-Azim fakta yang menarik tentang anak burung gagak.
Anak burung gagak apabila baru lahir dan menetas, bulunya belum tumbuh lagi sehingga nampak warna kulitnya yang masih putih.
Melihat anaknya tidak warna hitam sepertinya ibu dan ayah gagak ini membiarkannya dan tidak mahu mendekat untuk memberinya makan dan minum.
Lalu bagaimana anak gagak ini boleh hidup? Ternyata Allah memberinya makan melalui cara lain.
Allah hantar kepadanya lalat dan serangga kecil mengerubunginya, kerana ia mengeluarkan bau tertentu yang menyebabkan lalat dan serangga itu datang kepadanya. Lalat dan serangga itulah menjadi sumber makanan anak gagak itu sehingga tumbuh bulunya yang berwarna hitam.
Menurut Ibn Kathir, selain lalat dan serangga yang datang, burung lain yang melihatnya turut kasihan, lalu membawakan makanan untuknya.
Apabila bulunya sudah tumbuh dan berwarna hitam, barulah ibu dan ayah gagak ini datang mendekat kepadanya serta memberinya makan.
Fakta ini didatangkan Imam Ibn Kathir untuk menjelaskan betapa rezeki setiap makhluk ciptaan Allah swt telah dijaminNya.
Jika burung gagak saja diberi Allah rezekinya, maka mengapa manusia masih risaukan rezekinya?
Rasulullah saw pernah bersabda :
"Sesungguhnya Malaikat Jibril membisikkan ke dalam qalbuku bahawa seseorang tidak akan meninggal sampai sempurna seluruh rezekinya. Ketahuilah, bertaqwalah kepada Allah, dan perindahlah caramu meminta kepada Allah. Jangan sampai keterlambatan datangnya rezeki membuatmu mencarinya dengan cara bermaksiat kepada Allah. Sesungguhnya tidak akan didapatkan sesuatu yang ada di sisi Allah kecuali dengan mentaatinya."
Wallahu A'lam
Comments
Post a Comment