Nota Aug (2) - Ustaz Dr. Firdaus : Sombong menghalang Bakti kepada Ibu Bapa, Al Quran Bisikan Illahi
Tadabbur: ORANG SOMBONG TIDAK AKAN MAMPU BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Allah berfirman:
(وَبَرًّا بِوَالِدَيْهِ وَلَمْ يَكُنْ جَبَّارًا عَصِيًّا)
[Surat Maryam 14]
"Dan (Nabi Yahya) berbakti kepada ibu bapanya dan dia bukanlah seorang yang sombong lagi derhaka."
1. Nabi Yahya a.s adalah antara contoh anak yang berbakti kepada ibu bapanya.
2. Sebagaimana maklum, nabi Yahya lahir ketika ibu bapanya (Nabi Zakaria) telah lanjut usia. Beliau membesar dengan kasih sayang yang penuh dan didikan yang terbaik.
3. Nabi Yahya a.s membalas kasih sayang ibu bapanya itu dengan bakti dan ihsan yang tidak ada tolak ukurnya. Beliau jaga ibu bapanya dengan penuh kasih sayang.
4. Apa yang membuat mudah bagi nabi Yahya a.s berbakti kepada ibu bapanya? Ia adalah kesucian hatinya daripada rasa angkuh, sombong dan derhaka. Hati beliau penuh dengan ketawaduan, ketaatan dan kepatuhan.
5. Boleh dikatakan, tidak akan berjaya dan sempurna bakti seseorang kepada ibu bapanya, jika dia mempunyai sifat angkuh, sombong dan suka melawan atau derhaka.
6. Buang sifat angkuh, sombong dan derhaka anda, jika anda ingin memperoleh kejayaan amal soleh berbakti kepada ibu bapa.
7. Tundukkan diri ketika berhadapan dengan mereka walaupun kita boss besar di pejabat kita. Jangan tunjuk sangat hebat kita itu jika kita seorang ilmuan berjaya sedangkan mereka hanya seorang petani bodoh dari kampung. Wujud kita di dunia adalah kerana adanya wujud mereka.
Wallahu A'lam
......................................................................................................................................................
AL QURAN : Bisikan Ilahi Untuk Hati Yang Jernih
Kembali kepada al Quran umpama kembali ke hati nurani. Bisikan ayat-ayat al-Quran adalah bisikan ilahi untuk hati yang jernih.
Setiap kali berinteraksi dengan al Quran, hati ini dibawa berkelana ke multi dimensi kehidupan.
Al Quran membuat kita berfikir, merasa dan menghayati detik - detik kehidupan nabi dan kehidupan manusia semuanya.
Al Quran adalah makanan hati, minda dan jiwa manusia yang inginkan kepastian hidup dan kebahagiaan hakiki.
Comments
Post a Comment