Nota Aug (5) - Ustaz Dr. Firdaus - Tadabbur : Tabah Masa Ditolak, Dari Satu Jiwa , 5 Tanda Hati Mencintai Al Quran

 Tadabbur: Tabah Masa Ditolak

===================≠=====

Allah berfirman:

(فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ)
[Surat At-Tawbah 129]

"Maka jika mereka berpaling, maka katakanlah: Hasbiyallah Lailaha Illa Huwa, 'Alaihi Tawakkaltu Wahuwa Rabbul 'Arsyil 'Azim".

-------------

1. Tidak semua orang akan setuju dan menyokong kita. Akan ada sahaja orang yang tidak setuju dan menentang kita.

2. Apabila ada golongan yang tidak setuju dengan kita, jangan patah semangat. Sabar dan tabahkan diri. Buat dan sampaikan sahaja apa yang patut.

3. Selepas buat dan sampaikan apa yang patut, serahkan diri dan usaha kita itu kepada Allah. Ikhlaskan apa yang kita buat itu keranaNya dan meraih redhaNya.

4. Jangan bergantung kepada orang, bahkan tidak boleh juga bergantung dengan diri kita sendiri dan usaha kita. Bergantunglah hanya kepada Allah. Cukupkan diri dengan Allah dan anugerah yang akan Dia berikan kepada kita.

5. Agar diri kuat pada masa ditolak atau dicabar, rajinlah membaca doa yang diajarkan Allah ini:

"Hasbiyallah, Lailaha Illa Huwa, 'Alaihi Tawakkaltu Wahuwa Rabbul 'Arsyil 'Azim".

Wallahu A'lam

****

Tadabbur: Dari Satu Jiwa

( يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ

[Surat An-Nisa' 1]

"Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan yang telah menciptakan kamu daripada SATU JIWA."

Asal manusia adalah satu jiwa, iaitu daripada Adam as. Daripadanya lahir suku, kabilah dan bangsa manusia.

Apabila manusia berasal daripada satu jiwa yang sama, sepatutnya mereka merasa dekat antara satu sama lain.

Selain itu, adalah tidak patut bagi seseorang untuk merasa bangga dan sombong dengan kedudukan ibu bapa, suku, bangsa dan asal-usul keturunannya.

Apa yang perlu kita bawakan pada diri kita jika faham perkara ini? Merasa gembiralah bahawa kita mempunyai ramai saudara mara.

Lalu berlapang dadalah dengan perbezaan yang berlaku di kalangan manusia, kerana ia adalah sunnatullah dalam kehidupan di dunia ini.

Demikian juga, tawaduklah dengan melihat orang lain lebih baik daripada kita, kerana ia ada kelebihan tersendiri yang tidak ada pada kita. Allah ciptakan kita dengan pelbagai keadaan dan potensi untuk saling melengkapkan dan menyempurnakan.

Wallahu A'lam

****

5 Tanda Hati Mencintai Al-Quran

Al-Quran adalah ayat-ayat Allah yang diturunkannya untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Ia merupakan bukti cinta kasih Allah kepada umat manusia.

Mukmin sejati amat mencintai Al-Quran. Dia dekat dan intim dengan Al-Quran sebagaimana seseorang kekasih dekat dengan kekasihnya.

Berikut 5 tanda hati mencintai Al-Quran :

1. Hati yang sihat suka dengan Al-Quran, sama ada dengan mendengarnya atau membacanya atau mentadabburinya atau menghafalnya dan mengamalkannya.

2. Duduk lama bersama Al-Quran tanpa bosan.

3. Rindu jika lama tidak bersama Al-Quran.

4. Merujuk kepada Al-Quran ketika menghadapi masalah.

5. Berusaha mengamalkan isi kandungannya

Comments